Thursday, March 29, 2012

Contoh Contoh Soalan "Prompt" (3)

...sambungan

Mengfokuskan Elemen Latar Dalam Sesebuah Cerita

Latar sesebuah cerita merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah cerita. Tanpa latar, jalan cerita akan menjadi kurang sempurna dan ada kemungkinan, imaginasi kanak kanak terhadap cerita tersebut juga akan tersekat.

Lokasi cerita, cuaca atau musim, tahun cerita itu berlangsung, keadaan sosial dan budaya adalah contoh contoh elemen latar dalam sesebuah cerita. Kadang kala, dalam sesebuah cerita, elemen latar ini tidak diberi penekanan kerana fokus hanya diberikan dalam penceritaan karakter dan pembangunan plot.

Sebenarnya, mengkaji latar sesebuah cerita amat baik dalam kita boleh mendedahkan kanak kanak dengan pelbagai subjek baru meskipun mereka masih kecil lagi. Dengan mengkaji latar cerita, kita boleh dedahkan mereka dan seterusnya menimbulkan kesedaran tentang perbezaan kebudayaan, warisan, keadaan sosial sesebuah masyarakat, dan menambah pengetahuan tentang keadaan geografi dan entiti sesebuah tempat.



Elemen Latar Di Dalam Buku Bergambar Tanpa Perkataan

Menariknya buku bergambar tanpa perkataan, contoh contoh elemen latar yang dinyatakan sebentar tadi boleh menjadi misteri memandangkan ia digambarkan secara bersahaja, melalui visual sepenuhnya, bukan melalui perkataan.

Sebagai contoh, buku bertajuk Window dari Jeannie Baker ini mempunyai Australia sebagai lokasinya. Ini dapat dipastikan melalui pemerhatian terhadap latar, di mana ada seekor kangaru liar di luar kawasan rumah.

Namun begitu, bukan semua kanak kanak berupaya untuk mengesan kehadiran kangaru tersebut lebih lebih lagi, ia bukanlah sebahagian daripada watak utama cerita. Lebih lebih lagi, figura kangaru itu amat kecil dan ada kemungkinan, ia boleh terlepas pandang.

Tambahan pula, bukan semua kanak kanak tahu bahawa haiwan seperti kangaru merupakan lambang negara Australia dan haiwan ini kadang kala boleh dijumpai di kawasan hutan Australia.

Oleh itu, mengajukan soalan "prompt" yang bersesuaian diikuti penerangan fakta atau informasi baru merupakan satu strategi yang baik untuk merangsang daya pemikiran mereka di samping mendedahkan mereka perkara perkara baru.

Buku yang menjadi kegemaran ibu bapa di Australia ini juga sering kali digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran guru guru di sekolah. Antara pengiktirafan yang telah diberikan adalah:

1992 Australian Children’s Bk. Council Picture Book of the Year Award
1992 Young Australian’s Best Book Award (Picture Books.)
1992 Shortlisted Kate Greenaway Medal UK
1992 Notable Book in the Field of Social Sciences USA



Satu lagi contoh hasil karya Jeannie Baker adalah Mirror, yang telah mendapat pengiktirafan

2011 Children's Book Council of Australia Picture Book of the Year ('Hamlet' also won)
2011 Australian Indie Award Best children's book
2011 The English Association and the UK Literary Association's 4-11 Award: Best Children's Illustrated Book.


Elemen latar menjadi kekuatan jalan cerita buku "dua dalam satu" ini di mana ia memaparkan latar kehidupan dua orang kanak kanak lelaki yang berbeza lokasi, budaya dan sosial, namun sedikit sebanyak ada titik persamaan di antara kedua duanya.


Buku "dua dalam satu" karya terbaru Jeannie Baker.

Banyak ilmu ilmu baru boleh dicari gali melalui buku ini dan semua ini boleh dilakukan dengan mengajukan soalan soalan "prompt" sebagai pencetus.


Contoh Contoh Soalan

Berikut adalah antara contoh contoh soalan "prompt" yang mengfokuskan elemen latar sesebuah cerita. Terdapat juga soalan yang boleh membawa kepada aktiviti baru untuk dilakukan.

Apakah yang boleh dilihat dari latar belakang (rumah) ini?

Gambarkan cara pemakaian watak/ cuaca/ suasana lokasi cerita ini.


Bagaimanakah keadaan masyarakat di sekeliling di dalam cerita ini?


Berdasarkan pemerhatian latar, cara pemakaian watak dan cuaca, di manakah lokasi cerita ini berlaku?


Pada pendapat kamu, bilakah/ pada tahun apakah kejadian ini berlaku?


Adakah kejadian ini berlaku di dalam atau di luar negara?


Adakah cerita ini berlaku di dalam atau di luar rumah/bangunan?


Adakah cerita ini berlaku pada masa dahulu atau pada zaman sekarang? Bagaimanakah kamu mengetahuinya?


(menyelak halaman yang seterusnya) Di manakah pula lokasi cerita ini berlaku? Adakah ia
sama dengan lokasi sebelum ini?


Adakah lokasi ini sama dengan lokasi di kover hadapan buku?


Pernahkah kamu ke tempat sama atau hampir sama seperti yang ditunjukkan di dalam gambar ini? Ceritakan.


Jika kamu ingin melukiskan kembali tempat tersebut, apakah perkara yang ingin ditambah atau perbezaan yang akan dilakukan?


bersambung....
  • Stumble This
  • Fav This With Technorati
  • Add To Del.icio.us
  • Digg This
  • Add To Facebook
  • Add To Yahoo

0 comments:

Post a Comment